Thursday, October 10, 2024
   
Text Size

Kembali Ke Pangkal Jalan

BAGI penduduk Kuantan, Pahang atau pengunjung luar yang melalui Jalan Teluk Sisek, mereka pasti melihat sebuah rumah kayu bersebelahan stesen minyak Petronas yang mungkin menimbulkan tanda tanya mengenai siapa pemiliknya atau apa peranannya.

Rumah yang mempunyai halaman yang agak luas dan di redupi dengan beberapa batang pokok kelapa kelihatan agak terasing rupanya jika dibandingkan dengan pelbagai macam bangunan moden di sekelilingnya.

Walaupun agak usang, namun peranan yang didokong oleh rumah itu dikenali sebagai Rumah Perantara Dic atau CasaVilla Dic itu amat besar dan tidak sama sekali berpadanan dengan rupanya itu.

Di Casavilla Dic itulah wujudnya satu persatuan melibatkan sekumpulan sukarelawan bekas penagih yang berkhidmat penuh gigih dalam membantu para penagih di Pahang untuk kembali ke pangkal jalan tanpa mengharapkan sebarang balasan atau keuntungan.

Apa yang mereka peroleh hanyalah kepuasan dalam membantu insan lain yang pernah melalui hidup penuh ranjau selaku penagih.

Selaku bekas penagih, mereka lebih memahami jiwa dan konflik yang dialami oleh para penagih itu sendiri seterusnya lebih arif akan bentuk bantuan kepada penagih dan bekas penagih.

Presiden Drug Intervention Comunity (Dic), Abdul Rahman Bakar memberitahu, rumah perantara itu diwujudkan pada tahun 2001 oleh sekumpulan 12 bekas penagih atas dasar kesedaran untuk membantu rakan-rakan penagih pulih dan melalui hidup yang produktif serta positif.

``Dic adalah sebuah persatuan yang ditubuh, ditunjangi dan dikendali oleh bekas-bekas penagih anak Pahang,'' katanya.

Dic kini mempunyai lapan kakitangan yang menerima elaun bagi menguruskan rumah aktiviti mereka (CasaVilla Dic), Drop-in center dan pejabat urusan mereka.

Setakat hampir 60 bekas penagih masih berhubungan dengan Dic dan 30 orang daripada mereka boleh dikatakan telah pulih sepenuhnya dengan memulakan hidup bersama kerjaya baru dan ada yang sudah berkahwin.

`Mungkin bukan kuantiti yang dihasilkan di sini tetapi yang penting kualiti,'' katanya.

Umumnya, Dic mempunyai dua kumpulan sasaran. Pertama melibatkan penagih yang melalui program pemulihan dan bekas penagih yang terlibat dengan aktiviti kumpulan sokongan.Bagi penagih, mereka boleh melalui program sukarela selama enam bulan dengan bayaran RM300 sebulan.

`Kita tidak dapat untung daripada jumlah itu, malah RM300 itu hanyalah untuk menyara makan minum penagih setiap bulan,'' kata Abdul Rahman.

Antara faktor yang ditekankan dalam pemulihan penagih ialah perubahan sikap, perubahan dan pengendalian emosi serta pembinaan kemahiran hidup.Sikap dan emosi diberikan penekanan kerana jiwa seorang penagih itu adalah amat kompleks.

Strategi

Menurut Abdul Rahman, dalam pengurusan emosi contohnya, perkara yang cuba dilakukan oleh Dic adalah untuk menerapkan strategi minda positif kerana Dic mahu memastikan bekas penagih tidak kembali ke tabiat asal hanya disebabkan mereka mengalami kesukaran untuk menerima hakikat dan masalah dalam hidup.

``Penagih berjiwa sensitif, mereka dipengaruhi oleh rasa geram, justeru mereka perlu diajar untuk menghadapi rasa geram dalam jiwa pada setiap hari,'' katanya.

Kegagalan berbuat demikian katanya boleh menyebabkan bekas penagih akan kembali ke tabiat lama. Program Dic diadakan dalam sesi pagi dan petang. Sesi pagi melibatkan program berbentuk seminar dan sebelah petang pula program Statik Group serta program riadah.

Pendidikan agama turut dititik beratkan oleh Dic apabila para ahlinya dihantar untuk mengikuti kelas Fardu Ain di masjid negeri setiap Sabtu atau melalui ceramah oleh rakan-rakan ustaz yang memahami keperluan rohani dalam pemulihan.

Selain pemulihan, Dic juga mengadakan program pencegahan dengan membuat ceramah dan pameran di serata tempat termasuk sekolah terutama pada hari Sabtu dan hujung minggu.

Kesungguhan para sukarelawan Dic amat nyata kerana sanggup menyertai program berakit Sungai Pahang semata-mata untuk membolehkan mereka menemui ibu-bapa atau mana-mana pihak yang berhadapan dengan masalah dadah.

Program

Selain itu, Dic turut bersama dalam program Larian Pahang dengan tujuan yang sama ke kampung-kampung.Salah satu program terbaru yang diatur Dic adalah Lepak Positif yang dirancang sekali setiap bulan bagi mendekatkan golongan remaja Pahang dengan Dic.

Program yang dibantu Pergerakan Pemuda UMNO Kuantan di bawah Suffian Awang itu berjaya membentuk platform baru ke arah membantu remaja memahami bahaya dadah.

"Mereka (ahli Dic) tahu perasaan remaja dan tahu apakah keperitan menghisap dadah, maka tidak ada saluran yang lebih baik untuk membawa mesej anti dadah ke tengah-tengah masyarakat,'' kata Suffian.

Sebagai sebuah pertubuhan yang sememangnya prihatin dan ikhlas, Dic turut mengadakan lawatan ke penjara dan hospital dengan membawa mesej anti dadah dan harapan bantuan kepada penagih dan mereka-mereka yang ingin memperbaiki diri akibat dadah.

Tidak kira apa atau cara yang digunapakai Dic, namun niat dan objektif yang didukung para sukarelawan mereka adalah amat murni.

"Pintu Dic terbuka untuk semua, tanpa mengira kaum dan agama, tetapi jika tiada kesedaran untuk berubah, tidak banyak yang boleh kami lakukan,'' katanya.

 

www.utusan.com.my