Tuesday, December 03, 2024
   
Text Size

Tanpa dadah, hidup pasti indah

“KASIHANILAH anak-anak yang terpaksa menjalani kehidupan tiada haluan dan lahir cacat akibat ibu bapa menagih dadah sehinggakan rosak keluarga, agama, bangsa dan negara.”

 

Itulah antara petikan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, ketika menyampaikan ucaptama di majlis perasmian Program Semai Bakti-PDK Peringkat Nasional, di Felda Jerangau Barat, 18 April lalu.

Jelas sekali memerangi dadah antara perjuangan kerajaan supaya semua rakyat sedar betapa indahnya kehidupan kanak-kanak jika golongan dewasa menjauhi dadah.

Isu penagihan dadah kini mengalami evolusi walaupun kerajaan tidak pernah berhenti memerangi musuh nombor satu negara ini sejak 1980-an lagi berikutan ancamannya terhadap generasi akan datang.

Jika dulu, penagihan dadah hanya membabitkan ganja atau heroin, tetapi kini pelbagai berbentuk pil psikotropik seperti syabu, eramin five atau metampethamine boleh diperolehi.

Gaya hidup moden yang penuh tekanan juga menyebabkan ramai golongan terpelajar ikut terjebak dengan najis ini sebagai satu cara menghindari masalah sekali gus menepis imej penagih yang dikatakan hidup merempat.

Isu ketagihan semakin serius disebabkan golongan penagih semakin kreatif. Mereka menggunakan tumbuhan yang mempunyai khasiat perubatan seperti daun ketum sebagai alternatif.

Hakikatnya, kini aktiviti penagihan dadah bukan saja membabitkan masyarakat kota malah turut menular ke kawasan luar bandar termasuk desa dan Felda.

Perkembangan negatif itu membuat Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob, mati akal mencari formula terbaik bagi menangani masalah penagihan dadah di kawasan Felda seperti yang dilaporkan baru-baru ini.

Penyakit ini semakin menular di kalangan generasi kedua dan ketiga Felda yang sering menjadikan kawasan ladang getah dan kelapa sawit pangkalan melepaskan gian.

Pahang, misalnya, mempunyai 16 tempat yang dikenal pasti sebagai pangkalan penagihan dadah dan lapan daripadanya membabitkan kawasan Jengka yang dikatakan menghadapi masalah penagihan yang serius.

Bagaimanapun, seperti pandangan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, penagihan dadah tidak boleh dikaitkan dengan masyarakat Felda semata-mata. Ia kini menjadi isu nasional dan perlu ditangani bersama.

“Masalah ini dilihat serius di Felda kerana tanah rancangan itu mempunyai komuniti lebih tersusun dan kerana itu mudah dikenal pasti penagih terbabit.

“Kita percaya pencegahan lebih baik kerana itu aspek pendidikan dipertingkatkan dengan memberi tuisyen dan pendidikan vokasional kepada generasi muda di situ," katanya.

Bagaimanapun tidak adil meletakkan Pahang satu-satunya negeri menghadapi masalah dadah kerana jika dibandingkan dengan negeri lain, Pahang berada di tempat kesembilan dalam carta jumlah penagih dadah berbanding tiga tempat teratas iaitu Wilayah Persekutuan, Johor dan Kedah.

Soalnya, apakah formula terbaik bagi membanteras penagihan dadah hingga ke akar umbi sedangkan pelbagai kaedah yang dilaksanakan sebelum ini tidak menunjukkan hasil membanggakan.

Penubuhan pusat serenti misalnya, mewujudkan budaya baru di kalangan penghuninya dan amat mengejutkan apabila polis turut menemui pelbagai senjata buatan sendiri yang dipercayai digunakan untuk merusuh.

Tidak kurang pula ada yang memberi cadangan berbentuk sindiran untuk memberi jarum suntikan percuma kepada penagih dadah walaupun ia dianggap menggalakkan kegiatan mereka.

Menyedari pentingnya tugas semua pihak membendung isu ini, pelbagai langkah dilaksanakan membabitkan tindakan penguatkuasaan, program pendidikan atau mendekati golongan ini bagi 'menyelamatkan' mereka.

Presiden Drugs Intervention Community Pahang (DIC Pahang), Abdul Rahman Bakar, berkata golongan ini menghadapi masalah untuk kembali ke pangkuan masyarakat kerana takut ditolak dan disisihkan.

Menurutnya, masalah itu timbul kerana penagih hidup dalam ‘subculture’ mereka sendiri dan berhadapan dengan masyarakat mewujudkan jurang tersendiri kerana perasaan rendah diri.

“Pembabitan bekas penagih seperti DIC Pahang diharap dapat membantu memulihkan semangat golongan terbabit memandangkan kami pernah melalui pengalaman itu dan berjaya mengatasinya.

“Oleh itu, pendekatan menggunakan ‘bahasa’ yang sama kepada golongan ini akan memudahkan mereka menerima mesej yang kami sampaikan. Ringkasnya, sedikit saja kami cakap, banyak yang mereka faham,” katanya.

Pada masa sama, pengukuhan institusi keluarga juga penting dalam usaha membantu mengatasi masalah itu di mana ibu bapa perlu lebih proaktif memerhati proses perkembangan anak mereka agar tidak terjebak dalam gejala negatif itu.

Kerjasama ibu bapa untuk membantu menangani masalah ini dari rumah mampu meringankan beban yang digalas kerajaan.

Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Yusuff, baru-baru ini memuji tindakan seorang ibu di Felda Keratong dekat Rompin yang sanggup menyerahkan anak gadisnya berusia 15 tahun ke balai polis kerana tidak tahan dengan masalah ketagihan anaknya itu.

Wanita itu yang menemui ganja dalam beg anaknya segera menyerahkannya kepada polis bagi memulihkan pelajar tingkatan tiga itu.

Menurut Ramli, langkah itu secara tidak langsung dapat membantu polis membanteras kegiatan penagihan dadah di kalangan remaja khususnya di kawasan rancangan Felda yang dikatakan semakin serius.

Malah, katanya, semakin ramai ibu bapa mula menerima saranan polis supaya menyerahkan anak mereka yang terbabit dengan dadah kepada pihak berkuasa bagi mendapatkan rawatan.

“Kerjasama ibu bapa dalam menangani masalah ini sesuatu yang positif memandangkan sebelum ini ada ibu bapa tidak tahu langsung anak mereka terbabit.

“Kita alu-alukan jika ada ibu bapa susah hati kerana anak mereka menagih dadah segera tampil dan ini lebih baik daripada kita menangkap mereka,” katanya.

www.hmetro.com.my