Wednesday, April 24, 2024
   
Text Size

Program Pertukaran Jarum Dan Alat Suntikan

“Pengguna dadah suntikan sentiasa mempunyai pelbagai risiko seperti melakukan pekerjaan seksdan mengguna dadah dan mereka biasa dipenjarakan kerana memiliki dadah, yang mana meningkatkan lagi risiko mendapat atau menyebarkan HIV.”

Penggunaan dadah sering dipandang serong oleh masyarakat umum dan di kalangan pekerja-pekerja kesihatan. Ini menyebabkan mereka yang bergantung kepada dadah terus dipinggirkan.

Ini bermakna pencegahan HIV tiada tersedia kepada mereka, atau mereka tidak boleh atau tidak ingin mendapatkan perkhidmatan ini disebabkan takut untuk dipersalahkan.

Penyebaran HIV melalui penggunaan dadah suntikan boleh dicegah dengan menyediakan pakej perkhidmatan yang menyeluruh dalam temuseru kepada pengguna dadah suntikan dan pasangan suntikan atau teman seks mereka.

Program Pertukaran Jarum dan Alat Suntikan (NSEP) telah diperkenalkan di Malaysia pada Januari 2006 oleh Kementerian Kesihatan bersama-sama dengan Majlis AIDS Malaysia dan Ahli-ahli Gabungannya. NSEP amat efektif dalam mengurangkan penyebaran HIV di kalangan pengguna dadah suntikan dan membolehkan pihak kerajaan dan organisasi badan bukan kerajaan untuk mendekati pengguna dadah.

NSEP adalah program pertukaran dan bukannya pusat pengedaran untuk jarum dan alat-alat suntikan. NSEP biasanya menempatkan pusat singgah harian dimana klien boleh berehat , makan, mandi, membasuh pakaian mereka dan menerima rawatan asas perubatan. Peraturan-peraturan yang tegas dikuatkuasakan di lokasi-lokasi ini dan dadah tidak dibenarkan berada di dalam premis ini.